Thursday 13 February 2014

Hanya strategi kitar semula


Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding di Kajang dan memberi bayangan untuk merebut jawatan Presiden PKR dipercayai hanya strategi 'kitar semula' bagi mengaburi mata rakyat.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, strategi sedemikian sering digunakan Anwar agar dapat mengalih perhatian rakyat daripada memberi tumpuan terhadap kes mahkamah yang dihadapinya.

Menurut beliau, Anwar merupakan seorang ahli politik yang sedaya upaya akan cuba meloloskan diri daripada sebarang tindakan tanpa memikirkan soal rugi atau integriti.

"Beliau kini sebenarnya sedang panik apabila berdepan dengan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, jadi tindakan untuk bertanding itu juga sebagai usaha mempengaruhi keputusan mahkamah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 28 Januari lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesahkan spekulasi Ahli Parlimen Permatang Pauh itu akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang selepas penyandang kerusi kawasan itu, Lee Chin Cheh meletak jawatan.

Isnin lalu, penasihat PKR itu menerusi wawancara dengan sebuah portal membayangkan pula untuk bertanding merebut jawatan presiden dalam pemilihan parti, pada Mei depan.

Menurut Ahmad Atory, Anwar juga akan sedaya upaya mengeruhkan keadaan agar lebih ramai pihak membela beliau.

"Apa agenda atau objektif beliau bertanding di Kajang, adakah mahu memberi khidmat terbaik kepada pengundi kawasan itu, sudah tentu tidak melainkan mahu memenuhi agenda peribadinya.

"Saya berpendapat, sudah-sudahlah beliau cuba mempermainkan kuasa rakyat untuk kepentingan diri kerana harus diingat lama-kelamaan orang akan bosan dengan taktiknya," tegasnya.

Ujar beliau, langkah Anwar bertanding di DUN Kajang itu seperti 'mencemar duli' memandangkan beliau pernah memiliki jawatan tinggi dalam kerajaan termasuk memangku tugas Perdana Menteri ketika dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Kenapa tiba-tiba nak bertanding di Kajang, maknanya memang ada yang tidak kena dengan mereka (pembangkang) ini," katanya.

0 comments:

Post a Comment

PARLIMEN KUALA SELANGOR

BUKIT MELAWATI

IJOK

JERAM